Dua pingat emas yang diraih atlet badminton para Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Huzairi Abdul Malek, dalam Para Sukma Perak 2018, memberikannya lebih motivasi untuk terus meningkatkan persembahan, khususnya bagi menghadapi musim mencabar tahun depan.

Huzairi tampil dalam saingan kali ini dengan sasaran tinggi untuk meraih emas dalam kedua-dua acara yang disertainya.

Ternyata dia dapat melaksanakan sasaran itu selepas menewaskan atlet tuan rumah, Wan Ahmad Kamil Wan Zainal Adzwan, dalam acara perseorangan lelaki SL3.

Bagaimanapun, dia memerlukan kebangkitan selepas tewas set pertama 19-21.

Dia kemudian mencatat kemenangan 21-6, 21-19 dalam dua set berikutnya bagi meraih pingat emas.

Lebih manis, dia turut meraih emas dalam acara beregu kategori SL3-SL4 bersama Md Radhi Juhari.

Gandingan itu menewaskan pilihan utama dari Sarawak, Aziz Mulaina Muhammad Daud-Nik Ariffen Putit, dalam pertarungan tiga set.

"Berdasarkan dua perlawanan final itu, saya berasa agak gugup dalam acara perseorangan.

"Saya berjaya bangkit dengan fokus yang tinggi untuk meraih pingat emas.

"Dalam acara beregu pula, pasangan saya banyak membantu dalam mengekalkan ketenangan," katanya.

Secara keseluruhan, Huzairi mengakui masih perlu meningkatkan persembahan sebagai persediaan awal menghadapi tahun depan yang juga menawarkan kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Pemain yang berada di ranking ke-18 dunia itu, bagaimanapun, masih belum memutuskan jumlah pertandingan yang bakal disertainya kerana masih menunggu perancangan yang akan disediakan barisan kejurulatihan badminton para negara.

"Sukan Para Sukma banyak membantu saya dalam memperbaiki corak permainan dan mengekalkan ketenangan.

"Kejohanan akan datang sudah pasti akan menguji tahap kemampuan saya, jadi saya perlu memperbaiki segala aspek," tambahnya.