Status sebagai pemain senior menyaksikan pemain badminton para Perak, Cheah Liek Hou, tidak berdepan kesukaran untuk merangkul pingat emas acara perseorangan SU5 Para Sukma 2018 Perak, sebentar tadi.

Liek Hou, yang juga bekas juara dunia para, turun sebagai pilihan utama bagi kategorinya dengan misi sudah pasti mempertahankan gelaran yang dimenangi dua tahun lalu.

Berdepan pemain Terengganu, Muhamad Faris Ahmad Azri, yang juga rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan, Liek Hou mempamerkan persembahan cukup bertenaga dalam set pertama.

Kawalan gelanggang yang cukup kemas memberikan kelebihan buat Liek Hou apabila memperoleh kemenangan 21-12.

Namun, memasuki set berikutnya, Faris mula memberikan tentangan yang lebih baik dengan beberapa kali memaksa Liek Hou membuat kesilapan mudah.

Pada suatu ketika, dia hampir untuk meraih kemenangan dalam set tersebut sebelum Liek Hou kembali menemui rentak untuk menamatkan saingan 21-19 untuk menggondol pingat emas.

"Saya bertemu dengan pemain pelapis dalam skuad kebangsaan dan berhasil mengawal rentak permainan.

"Segalanya menjadi buat saya, termasuk dalam aspek serangan dan kawalan gelanggang.

"Saya berasa bangga kerana dapat beraksi dalam Sukan Para Sukma 2018 sebagai peserta tuan rumah," katanya.

Acara perseorangan merupakan acara tunggal yang disertai oleh Liek Hou dalam Para Sukma kali ini, berbeza dengan tiga acara yang disertainya di Sarawak, dua tahun lalu.

Ia berikutan terdapat syarat yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) memandangkan dia berada dalam Program Podium selain memberi ruang buat pemain lain untuk membuktikan kemampuan.

"Setiap kali beraksi, saya akan mendapat emas.

"MSN sudah menetapkan bahawa atlet Program Podium hanya boleh menyertai satu acara sahaja," katanya lagi.