Atlet para kebangsaan, Bonnie Bunyau Gustin, berada dalam kelas tersendiri apabila meraih pingat emas Kejohanan Dunia Para Powerlifting di Kazakhstan, malam tadi.

Pemegang rekod dunia remaja itu melakukan angkatan 190kg untuk muncul juara dalam acara bawah 65kg (below) lelaki dalam kejohanan di Astana Congress Center yang bermula semalam hingga 20 Julai ini.

Atlet kelahiran Sarawak berusia 19 tahun itu memulakan aksi dengan melakukan angkatan seberat 170kg, diikuti 180kg dalam percubaan kedua, yang berakhir dengan 190kg, sekali gus membawa kepada kemenangannya.

Lawannya dari Iraq, Ahmed Al-Karkhi, hanya berjaya membuat satu angkatan seberat 140kg.

-- BERNAMA