Wirawati Olimpik negara dalam acara akuatik terjun, Pandelela Rinong Pamg mengetuai senarai pencalonan Olahragawati Sukan Negeri Sarawak 2016 yang akan berlangsung pada 2 September depan.

Beliau akan disaingi atlet taekwondo, Nurul Hidayah Abdul Karim, Erika Kong (akuatik renang) dan Angela Chieng Chui Fei (akuatik renang).

Pencalonan Olahragawan pula menyaksikan jaguh renang negara, Wilson Sim Wee Sheng disaingi atlet wushu, Loh Jack Chang dan atlet taekwondo yang juga penuai emas Sukma lalu di Kuching, Augustine Rudy Grocer.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihaknya telah menerima sebanyak 160 borang pencalonan daripada seluruh persatuan sukan yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan.

" Daripada jumlah itu, sebanyak 76 pencalonan telah melepasi tahap kelayakan dan disenarai pendek untuk penilaian.

" Sebanyak 49 pencalonan melibatkan atlet lelaki dan 27 atlet wanita, termasuk penulis dan jurufoto sukan," katanya.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dijangka hadir menyampaikan anugerah tersebut, yang juga merupakan acara tahunan Majlis Sukan Negeri bagi menghargai atlet, persatuan sukan dan pertubuhan-pertubuhan yang berkaitan.

“ Ia juga sebagai mengiktiraf kecemerlangan atlet negeri ini dalam acara-acara sukan yang dipertanding sama ada di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa.

Terdapat 16 jenis anugerah yang akan disampaikan iaitu Olahragawan Dan Olahragawati Negeri Sarawak 2015-2016, Olahragawan Olahragawati Harapan Negeri Sarawak 2015-2016, Olahragawan Olahragawati Para Negeri Sarawak 2015-2016.

Kategori lain, Anugerah Jurulatih Sukan Terbaik Negeri Sarawak 2015-2016, Anugerah Kepimpinan Sukan Terbaik Negeri Sarawak 2015-2016, Anugerah Jurulatih Sukan Para Negeri Sarawak 2015-2016, Anugerah Pasukan Terbaik Lelaki dan Wanita Negeri Sarawak 2015-2016 dan Anugerah Persatuan Sukan Terbaik Negeri Sarawak 2015-2016.

Untuk pengamal media pula, penyertaan terbuka untuk Anugerah Penulis Terbaik Sukan Bahasa Malaysia, Inggeris dan Cina Negeri Sarawak 2015-2016 dan Anugerah Jurufoto Sukan Terbaik Negeri Sarawak 2015-2016.