Penerjun negara, Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee, menyumbang pingat emas kedua negara dalam acara 10 meter platform seirama wanita pada hari terakhir saingan Grand Prix (GP) Kuala Lumpur hari ini.

Selepas lama tidak digandingkan bersama, Pandelela dan Mun Yee meraih emas selepas mencatat mata tertinggi, 311.28, menewaskan pesaing dari Australia dan Korea Selatan.

Pasangan itu digandingkan buat kali terakhir ketika Siri Dunia di Kazan, Russia pada April tahun lalu, namun dilihat tidak berdepan sebarang masalah untuk melakukan terjunan kemas walaupun pada tahap kesukaran yang lebih tinggi berbanding dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Mun Yee menyifatkan prestasi konsisten daripada Pandelela memainkan peranan utama bagi membantu mereka pada kali ini.

“Saya rasa saya tidak berdepan masalah berganding dengan Pandelela kerana dia amat konsisten. Saya yang perlu memastikan terjunan saya kekal di tahap terbaik.

“Kali ini lebih sukar berbanding Sukan SEA kerana tempoh persiapan hanya dua minggu,” ujar Mun Yee.

Pandelela pula menganggap saingan bagi acara terakhir itu agak mudah kerana pasangan dari China, Zhang Jiaqi dan Zhang Minjie, menarik diri daripada beraksi.

“Kalau mereka menyertai kejohanan, ia lebih seronok kerana tidak terlalu sunyi tetapi hari ini prestasi kami amat bagus walaupun berdepan persaingan sengit daripada Australia dan Korea dan kami berjaya mengatasinya,” tambah Pandelela.