Pandelela-Dhabitah teliti soal kontrak 

Oleh Staff Writer 15 Mac 2019 402
 Pandelela-Dhabitah teliti soal kontrak 
Belum reda soal elaun tinggi Program Podium 2.0, dua atlet terjun negara, Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri, masih belum menandatangani kontrak bersama Majlis Sukan Negara (MSN) yang sepatutnya berakhir hujung bulan lalu.

Pandelela dan Dhabitah sepatutnya memeterai kontrak bersama MSN sebelum berlepas ke Kejohanan Terjun Siri Dunia di Sagamihara, Jepun, 26 Februari lalu.

Bagaimanapun, mereka mempunyai sebab tersendiri, khususnya mahu meneliti dan memahami dahulu beberapa perkara dalam kontrak tersebut secara terperinci.

Namun, Pendelela dan Dhabitah berjanji akan memeterai kontrak tersebut setelah mencapai kata putus dengan MSN.

"Saya merupakan bekas penuntut jurusan pengurusan sukan, oleh itu sedikit-sebanyak saya tahu mengenai soal kontrak. 

"Saya berhak untuk mengetahui lebih lanjut tentang kontrak itu dan perlu mengambil masa untuk berbincang lanjut. 

"Ia bukan satu tindakan yang salah," ujar Pandelela.

Menurut Dhabitah: "Semua atlet perlu teliti mengenai soal kontrak sendiri. Saya perlukan masa dan jamin akan tetap menandatangani kontrak dengan MSN."

Setakat ini, seramai 501 sudah pun menandatangani kontrak bersama MSN, termasuk jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei dan atlet berbasikal trek, Azizulhasni Awang.

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen