Pahang Rangers mengorak langkah dalam usaha bergelar kuasa besar dalam kancah futsal tempatan apabila menjadi wakil kelab negara yang pertama mengikat usahasama dengan kelab Sepanyol, Levante Union Deportiva (Levante UD).

Antara kerjasama yang menjadi fokus dalam hubungan itu adalah pertukaran ilmu di antara dua kelab tersebut sambil Pahang Rangers berhasrat menghantar barisan jurulatihnya menuntut ilmu di Sepanyol.

Levante UD bukan sahaja sebuah kelab bola sepak dalam saingan La Liga di Sepanyol, malah turut mempunyai sebuah kelab futsal yang beraksi dalam saingan utama negara tersebut.

Selain itu, Pahang Rangers turut mengintai pemain asing dari Sepanyol memandangkan format baru Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) memperkenalkan kuota pemain import buat julung kalinya musim ini.

"Kami meraih musim yang baik tahun lalu. Sasaran tetap sama walaupun kini nama ditukar kepada Pahang Rangers. Kami mahu menang trofi dan liga," kata Presiden Pahang Rangers FC, Tengku Fahd Mua'adzam ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah.

Terdahulu, Pahang Rangers sudah mendapatkan Gerard Vasas Ullastre sebagai jurulatih asing pertama bagi saingan MPFL.

Majlis menandatangani usahasama di antara Pahang Rangers dan Levante UD disempurnakan oleh presiden kedua-dua kelab, Tengku Fahd Mua'adzam dan Javier Catalan Vena.

"Hasrat kami mahu membangun bersama dan pastinya ini satu hubungan yang baik. Saya yakin ia akan menjadi hubungan yang baik," ujar ahli lembaga pengarah Levante UD, Jose Danvilla.



Editor: Nafis Abdullah