PABM perlu gantung jurulatih terlibat doping

Oleh Ammar Hakim 28 Januari 2020 44
PABM perlu gantung jurulatih terlibat doping
Persatuan angkat berat negeri mendesak badan induk, Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) untuk turut sama menyenarai hitamkan jurulatih yang terlibat dengan kes doping bagi elak mereka lepas tangan susulan rekod lampau yang meningkat di peringkat Sukan Malaysia (Sukma).

Ia susulan PABM akan melaksanakan hukuman keras menggantung keseluruhan kontijen bagi saingan angkat berat di Sukan Malaysia (Sukma) Johor julai ini seandainya didapati atlet dari negeri tersebut positif ujian dopping.

Langkah tersebut adalah isyarat buat pengurus mahupun jurulatih negeri untuk tidak lepas tangan memandangkan kes terdahulu menyaksikan PABM terpaksa menanggung kos denda oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) sekitar ASD5,000 (RM20,432) untuk sebuah kes.

Nama jurulatih khusunya patut diheret sama memandangkan atlet di peringkat ini masih muda dan kurang pengetahuan mengenai penggunaan bahan terlarang.

"Saya berasakan perkara ini adalah amaran keras terhadap jurulatih dan pihak pengurusan untuk memastikan atlet tidak mengambil bahan terlarang," kata Timbalan Presiden Persatuan Angkat Berat Wilayah Persekutuan, Ahmad Janius Abdullah.

PABM terdesak untuk memastikan acara angkat berat bebas gejala doping di Sukma Johor 2020 dalam usaha memulihkan reputasi mereka untuk dimasukkan semula ke dalam sukan teras selepas dikeluarkan pada 2018.

"Berada dalam kelompok sukan teras, ia memastikan atlet negara membuat persiapan secara konsisten dan sentiasa sedia untuk turun beraksi.

"Berbanding sukan pilihan, ia membuatkan atlet-atlet kecewa dan tertanya-tanya kerana tidak mengetahui sukan angkat berat akan dipertandingkan dalam setiap edisi Sukma," kata Setiausaha Kehormat Persatuan Angkat Berat Selangor, Azhar Zani.


Editor: Ammar Hakim

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen