Usaha mengadakan pertandingan sukan angkat berat dalam kalendar Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) menjadi keutamaan Datuk Mohd Nasir Ali sekiranya terpilih sebagai timbalan presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dalam mesyuarat agung tahunannya (AGM) esok.

Tiga individu dicalonkan sebagai timbalan presiden PABM. Bagaimanapun, hanya Mohd Nasir menerima pencalonan lalu secara tidak langsung meletakkannya sebagai calon tunggal untuk jawatan kedua tertinggi PABM itu.

Bahkan, presiden Persatuan Angkat Berat Kuala Lumpur berkenaan sudah menetapkan keutamaan andai terpilih.

"Kami sedang berusaha untuk mengadakan sukan angkat berat di peringkat sekolah dan berjaya mendapatkan (penglibatan) dua buah sekolah di Putrajaya.

"Kalau boleh melibatkan kawasan lebih luas, saya berasa ia akan berjaya sebab sukan ini bukan sahaja lebih selamat daripada segi kecederaan berbanding sukan lain, malah mampu membina karakter dan disiplin sebab sukan ini menuntut latihan yang betul," katanya.

Sementara itu, PABM tidak mengumumkan identiti dua lagi calon.

Namun, bekas jaguh negara, Amirul Hamizan Ibrahim, mengakui turut dicalonkan untuk jawatan timbalan presiden manakala jawatan presiden menyaksikan persaingan satu lawan satu.

Penyandang, Datuk Ong Poh Eng, dengan satu pencalonan akan dicabar Presiden Persatuan Angkat Berat Johor, Datuk Ayub Rahmat, yang menerima 11 pencalonan.