Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) berganding bahu menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat punca dan dalang kes doping yang makin menular dalam kem angkat berat negara.

Keputusan itu dicapai selepas tamat mesyuarat khas di antara kedua-dua pihak di ibu pejabat ADAMAS di Putrajaya hari ini.

Jawatankuasa khas itu terdiri daripada panel bebas yang bertujuan menyiasat hal-hal dalaman yang berlaku dalam kem angkat berat negara selain memantau pergerakan rutin harian mereka.

Setakat ini pada 2018, lima kes doping membabitkan atlet angkat berat dikenal pasti, antaranya Hafifi Mansor, Mohammad Fazrul Azrie Mohdad dan yang terbaru, melibatkan tiga atlet remaja.

"Banyak spekulasi kedengaran, cuma kami tidak mempunyai bukti bahawa si polan ini menjadi dalang.

"Tetapi, ia masih di peringkat spekulasi dan akan diperincikan dalam jawatankuasa khas nanti," kata Naib Presiden PABM, Ahmad Janius Abdullah.

Selain itu, ADAMAS juga akan meningkatkan ujian doping secara berkala berbanding sebelum ini ke atas semua atlet angkat berat negara.

Difahamkan juga, Majlis Sukan Negara (MSN) sudah menggantung kesemua program latihan membabitkan skuad angkat berat.

"Mereka akan diuji di dalam atau luar negara, termasuk ketika bercuti di kampung sekalipun.

"Jika mereka tidak berada di kawasan yang didaftarkan, mereka sendiri yang perlu berikan maklumat. Jika tiga kali gagal berbuat demikian, kesalahan itu akan dijatuhi hukuman," kata Ketua Pengarah ADAMAS, Datuk Dr. Ramlan Abd Aziz.