Kempen Malaysia dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang 2018 berakhir selepas Jeffrey Webb mempamerkan segala yang terdaya untuk mencabar atlet terhebat dunia dalam aksi giant slalom.

Jeffrey merupakan harapan tunggal negara selepas peluncur ais negara, Julian Yee, terkandas awal dalam acara figure skating.

Giant slalom adalah kategori di bawah alpine skiing yang memerlukan 110 peluncur bertanding untuk mencatat masa terpantas melalui checkpoint sambil menuruni curam.

Perlumbaan pusingan pertama menyaksikan Jeffrey merekodkan catatan masa 1 minit 23.83 saat.

Catatan itu memadai untuk mendukung Jeffrey ke pusingan kedua memandangkan dia berada di kedudukan ke-78 daripada 85 tempat yang diperuntukkan untuk mencabar pingat.

Pusingan kedua menyaksikan Jeffrey tampil dengan kawalan konsisten tetapi terhad kepada kemampuannya dan gagal memperbaharui catatan awal.

Ini bermakna catatan masa terkumpul Jeffrey 2:47.67s meletakkan dia di kedudukan ke-68 keseluruhan.