Atlet lempar cakera negara, Abdul Rahman Lee, menghadirkan sinar buat Malaysia untuk mencatat kejayaan 1-2 dalam Sukan SEA Filipina, dari 30 November-11 Disember depan, selepas menumbangkan pemenang pingat perak temasya Kuala Lumpur 2017 ketika menjuarai Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand, Sabtu lalu.

Abd Rahman menamatkan penantian lamanya untuk menjuarai kejohanan antarabangsa.

Atlit kelahiran Sarawak tersebut melakukan lemparan 50.16m yang juga merupakan catatan peribadi terbaiknya untuk mengatasi wakil tuan rumah, Narong Benjaroon, selaku pemenang perak Sukan SEA 2017.

Prestasi itu membayangkan Malaysia berpeluang untuk mencatat kejayaan 1-2 di Filipina dengan kehadiran juara bertahan, Muhammad Irfan Shamsuddin, yang tidak beraksi di Thailand.

"Sebenarnya, sasaran saya tidaklah terlalu tinggi sambil saya cuba mengatasi catatan peribadi terbaik.

"Syukur saya dapat melakukan catatan terbaik walaupun peningkatannya tidak banyak, iaitu 0.13m.

"Ini menunjukkan saya yakin dengan kemampuan sendiri dan boleh pergi lebih jauh.

"Ini kali kedua saya memenangi kejohanan terbuka dengan kali pertama saya melakukannya di Vietnam, dua tahun lalu," katanya.