Jaguh lontar peluru lelaki negara, Jackie Wong, antara penyumbang pingat buat kontinjen negara dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Taiwan, hari ini.

Meskipun bukanlah merupakan aksi terbaiknya, atlet kelahiran Sarawak itu masih mampu meraih kedudukan podium apabila melakukan catatan 65.40 meter untuk membawa pulang pingat gangsa.

Jackie memperbaharui rekod kebangsaan buat kali ke-14, bulan lalu apabila melakukan 67.01m dalam Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) di Doha, Qatar.

Atlet lompat kijang wanita, R Kirthana, pula merakamkan catatan terbaiknya musim ini, 13.32m, untuk menjulangnya sebagai pemenang perak.

Emas dimenangi atlet Vietnam, Vu Thi Ngoc, dengan melakukan 13.53m manakala Mariko Morimoto dari Jepun meraih gangsa.

Sementara itu, permulaan perlahan menyebabkan atlet lompat kijang lelaki, Andre Anura, berputih mata terlepas podium berikutan mengakhiri cabaran di tangga keempat selepas melakukan 15.93m yang juga merupakan catatan terbaiknya tahun ini.

Christian Taylor dari Amerika Syarikat menamatkan acara itu dengan memperbaharui rekod kejohanan, 17.14m, untuk meraih emas.

Perak dan gangsa dimenangi atlet turut rumah, Shen Yu-Sen dan Li Yun-Chen.