Acara 100 meter lelaki yang menjadi tumpuan utama dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura kurang menyengat kali ini apabila Malaysia hanya berpuas hati dengan pingat gangsa menerusi Muhammad Haiqal Hanafi, hari ini.

Haiqal menamatkan larian di tempat ketiga dengan catatan masa 10.85 saat untuk berada di belakang Anfernee Lopena dari Filipina dan Dewa Mudiyasa dari Indonesia yang merangkul emas dengan catatan 10.72 saat.

"Saya tidak jangka boleh kalahkan Khairul Hafiz kerana menjangkakan dia menamatkan larian di depan saya.

"Sebaik melihat keputusan akhir, saya beroleh tempat ketiga," kata Haiqal.

Fokus utama pastinya buat raja pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan perbezaan 0.01 saat sahaja di belakang Haiqal.

Nyata, ia cukup mengecewakan Khairul Hafiz sendiri yang menyifatkan ia bukanlah aksi terbaiknya apabila hampir terjatuh dalam lariannya sehingga ketinggalan untuk menamatkan aksi dengan masa yang lebih baik.

"Thailand adalah pesaing utama dalam Sukan SEA nanti.

"Tetapi, ada lagi tiga bulan untuk saya bangkit.

"Jurulatih sudah berpesan agar saya menetapkan sasaran untuk memberikan persembahan terbaik dalam kejohanan ini dan memberi fokus kepada Sukan SEA," ujarnya.

Acara 200m lelaki dan wanita juga belum lagi mencapai tahap sebenar apabila kekal dikuasai oleh kuasa besar seperti Thailand dan Singapura yang masing-masing mengungguli acara itu menerusi Jirapong Meenapra dan Veronica Shanti Pereira.