Olahraga Terbuka Malaysia: Nauraj buktikan masih yang terbaik 

Oleh Staff Writer 12 Mei 2018 3524
Olahraga Terbuka Malaysia: Nauraj buktikan masih yang terbaik 
Nauraj Singh membuktikan bahawa dia jaguh utama lompat tinggi negara apabila menumbangkan rakan sepelatih, Lee Hup Wei, dengan ketinggian 2.23 meter untuk merangkul pingat emas Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, sebentar tadi.

Nauraj yang juga pemegang rekod kebangsaan mempamerkan kematangan di Stadium Nasional Bukit Jalil. 

Dia bijak memilih ketinggian 2.23m ketika Hup Wei terus melakukan percubaan 2.26m.

Kedua-duanya gagal dalam ketiga-tiga percubaan 2.26m, namun kiraan semula menyaksikan Nnauraj muncul juara sementara gangsa milik atlet Kuala Lumpur, Muhammad Syazwan Ahmad.

"Pada penghujung saingan, saya mengerah segala kudrat dan disebabkan itu, saya tidak membuat percubaan terakhir pada ketinggian 2.23m.

"Lagipun, saingan hari ini sungguh panjang, " katanya. 

Sukan Komanwel Gold Coast bulan lalu menyaksikan Hup Wei mengatasi Nauraj dengan kedua-duanya sudah pun layak ke Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

"Sejak kembali daripada Sukan Komanwel, lompatan 2.20m hari ini merupakan catatan yang bagus. 

"Saya mahu memastikan aksi lebih baik dalam Sukan Asia nanti," ujar Hup Wei pula. 

Zaidatul Husniah Zulkifli mencipta rekod peribadi untuk merakamkan pingat emas kedua apabila menjuarai acara 200m wanita menerusi catatan terbaik musim ini, 23.74 saat.

Dia berjaya mengatasi cabaran hebat daripada rakan sepasukan ATM, S. Komalam Shally, disusuli Shreen Samson Vallabouy yang mewakili Perak.

"Kemenangan ini amat bermakna buat saya kerana dua emas yang dipungut merupakan bonus. 

"Saya akan memberi fokus kepada acara 4x100m pula esok," kata Zaidatul yang menjuarai 100m wanita, semalam. 

Dalam acara 200m lelaki pula, Khairul Hafiz Jantan terus dirundung malang apabila sekadar meraih gangsa.

Jonathan Nyepa unggul dengan catatan 21.10s sambil pecutan akhir Abdul Wafiy Roslan memastikan Terengganu meraih perak. 

"Saya memang tidak menjangkakan (kemenangan) hari ini. Saya berasa sungguh penat," kata Jonathan yang buat julung kalinya mengalahkan Khairul Hafiz.

Bagi Khairul Hafiz pula, dia akur gagal mencapai tahap seperti yang diharapkan dengan berkata: Sudah dua kejohanan saya tidak berikan persembahan yang baik termasuk Sukan Komanwel. 

"Ini satu motivasi buat saya memandangkan Jonathan dan Abdul Wafiy mampu memberikan saingan. 

"Selepas ini saya akan berlatih lebih gigih lagi."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen