Jaguh 110m berpagar negara, Rayzamshah Wan Sofian, sanggup mengetepikan risiko kecederaan apabila memaksa diri menyertai final Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia untuk meraih pingat emas dengan catatan 14.12 saat.

Rayzam mengalami kekejangan otot ketika sesi memanaskan badan. Bagaimanapun, juara Sukan SEA 2017 itu mengambil keputusan untuk meneruskan cabaran selepas menghubungi jurulatihnya yang berada di Jerman.

Pelari kelahiran Sabah itu mengetepikan tentangan sengit pelari Kuwait sementara peserta Filipina meraih pingat gangsa.

"Betis kanan saya dua kali mengalami kekejangan semasa sesi memanaskan badan ekoran kekerapan memanaskan badan.

"Saya kemudian menghubungi jurulatih di Jerman, dia mahu saya membuat keputusan sendiri atas dasar kemampuan fizikal saya.

"Saya hampir menarik diri tetapi menguatkan semangat demi merebut tempat dalam Sukan Asia (Indonesia Ogos depan)," ujar Rayzam.

Sementara itu, dalam saingan 100m berpagar wanita, pelari negara, Raja Nursheena Raja Azhar, hanya kurang 0.2 saat untuk melepasi had kelayakan 100m berpagar Sukan Asia.

Wakil Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu mempamerkan larian cemerlang untuk mengesahkan emas dengan 13.93 saat, catatan terbaiknya musim ini.

Perak milik Singapura sementara Korea Selatan memenangi gangsa.

"Kalau saya melepasi had kelayakan dan terpilih, Insya-Allah saya akan membuktikannya," kata Raja Nursheena.