Olahraga Terbuka Malaysia 2018: Prabudass bangkit daripada kecederaan lutut  

Oleh Staff Writer 13 Mei 2018 1720
Olahraga Terbuka Malaysia 2018: Prabudass bangkit daripada kecederaan lutut  
Pelari jarak jauh negara, K. Prabudass, bangkit selepas lima bulan dilanda kecederaan lutut apabila merangkul pingat perak acara 5,000 meter dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2018 hari ini.

Terbuka Malaysia merupakan kejohanan pertama Prabudass tahun ini sejurus berakhir Sukan SEA 2017 ekoran masalah lutut kiri sewaktu sesi latihan, Disember lalu.

Walaupun sudah lima bulan tidak menjalani latihan penuh, dia tetap berpuas hati mampu meraih podium selepas bersaing sengit dengan pelari dari Kuwait, Kamal Husain, yang merangkul gangsa. 

Namun, catatan 15 minit 38.11 saat yang dilakukannya bukan tahap terbaiknya berbanding 14:57.43s yang dicatat dalam Sukan SEA Kuala Lumpur.  

"Ini merupakan kejohanan sulung yang disertai selepas saya terpaksa berehat akibat kecederaan meniskus (di lutut). Lagipun, sudah dua hari saya tidak berapa sihat kerana dilanda demam.

"Selepas mengambil ubat yang disediakan doktor, saya mahu terus bertanding kerana ingin menguji kemampuan sendiri.

"Saya agak berpuas hati dengan prestasi hari ini walaupun catatan masa tidak berapa bagus," katanya. 

Sukan Asia Indonesia 2018 mungkin terpaksa dilupakan pelari berusia 27 tahun itu apabila sedar agak sukar untuk melepasi kelayakan masa yang lebih pantas, iaitu catatan bawah 14 minit, yang memerlukan Prabudass memecah rekod kebangsaan berusia 24 tahun milik M. Ramachandran, iaitu 14:06.84s.

"Saya akan cuba melayakkan diri melalui tiket Terbuka Filipina, dua minggu lagi.

"Saya tidak meletakkan sasaran tinggi tetapi kalau boleh, saya ingin layak," ujarnya lagi. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen