Jaguh pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan, berkata dia gagal beraksi dengan baik dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2018 yang berakhir hari ini kerana masih gagal mengembalikan prestasi terbaiknya.

Khairul Hafiz, yang dikenali sebagai ‘Speedy Jantan’, mengakui dia sedang bergelut untuk kembali menemukan rentak terbaiknya dalam acara 100m dan 200m sejak mengalami kecederaan otot paha dalam Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), Ogos tahun lalu.

“Buat masa ini, kondisi badan saya tidak begitu selesa untuk berlari, mungkin disebabkan kecergasan otot saya masih di tahap lemah. Sejak pulih daripada kecederaan, saya berusaha keras untuk mencapai tahap terbaik tetapi mungkin disebabkan beberapa kekangan, apa yang saya inginkan tidak tercapai.

“Sepanjang sembilan bulan lalu, saya mengharungi beberapa situasi yang ada kalanya mengganggu emosi saya. Antaranya, berlatih tanpa jurulatih (Mohd Poad Md Kassim) yang dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman di paru-paru tetapi semua itu menjadikan saya seorang atlet yang lebih matang,” katanya.

Semalam, pemenang pingat emas temasya KL2017 berusia 20 tahun itu menamatkan saingan 100m di tempat kelima dengan catatan 10.64s manakala merekodkan masa 21.27s untuk meraih pingat gangsa acara 200m di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Catatan atlet kelahiran Melaka itu dalam kedua-dua acara itu jauh tersasar daripada rekod 100m kebangsaan miliknya, 10.18s, yang dicatatkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2016 selain rekod 200m kebangsaan 20.90s dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2017.

Catatan masa terbaik Khairul Hafiz dalam acara 100m tahun ini adalah 10.34s yang dirakamkan dalam Kejohanan Olahraga All Comers FTKLAA/MILO 2018, namun gagal meneruskan kecemerlangannya dalam Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast bulan lalu apabila merekodkan catatan 10.50s untuk menduduki tempat keempat dalam saringan pusingan pertama.

Berikutan prestasi hambarnya itu, dia berkata sesetengah pihak tidak menghiraukan perasaannya apabila lantang mengkritik serta membuat pelbagai andaian yang tidak tepat.

“Orang ramai mengharapkan lebih daripada saya, mungkin disebabkan saya ini pemegang rekod kebangsaan tetapi mungkin mereka lupa saya baru berusia 20 tahun, perjalanan saya masih panjang dan apabila terlalu banyak tekanan, ia akan lagi memberi kesan negatif kepada saya.

“Ada yang mendakwa saya sudah lupa diri dan leka hanya kerana saya kalah atau tidak menepati sasaran. Ada juga yang berkata faktor wanita mempengaruhi prestasi saya. Orang melihat saya sebagai pelari terpantas negara tanpa menyedari kalah dan menang itu adat dalam sukan," katanya.

Bagaimanapun, Khairul Hafiz tidak berkecil hati, sebaliknya berterima kasih kepada pihak yang mengkritiknya dan mahu mengambil kritikan tersebut secara positif dan menjadikan ia sebagai pembakar semangat untuk terus gigih berusaha mencipta kejayaan pada masa depan.

“Bagi orang yang berkata-kata, saya rasa mereka patut tahu apa yang sedang dilalui seseorang atlet itu. Bukan kita nak kalah tetapi mungkin keadaan belum mengizinkan. Saya akan ambil segala kritikan itu dengan hati terbuka dan akan terus gigih berlatih,” katanya.

-- BERNAMA