Atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong, mencuri tumpuan dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2018 apabila menjadi wakil tunggal memecah rekod kebangsaan dengan balingan 66.01 meter di Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Pencapaian itu secara tidak langsung menebus kembali kekecewaannya dalam Sukan Komanwel di Gold Coast apabila sekadar melakukan 64.35m untuk menamatkan saingan di tempat ke-14.

"Saya tidak menyasarkan rekod baru kerana enggan memberi tekanan kepada diri sendiri.

"Saya hanya fokus kepada teknik balingan supaya dapat buat yang lebih baik. Saya tidak sangka dapat melepasi rekod dalam balingan ketiga," katanya.

Pada masa sama, ini merupakan rekod baru ke-12 yang dirakamkan Jackie dan menganggap ketenangannya sebagai pemangkin kepada prestasinya selepas kecewa dalam Sukan Komanwel bulan lalu.

"Saya mula merakamkan rekod baru sejak 2013. Sepanjang pencapaian ini, jurulatih banyak memainkan peranan dengan mengubah program latihan saya mengikut kesesuaian semasa.

"Sejak memenangi pingat emas Sukan SEA 2017, saya terlalu ingin membuat persembahan terbaik dalam Sukan Komanwel. Justeru, sebaik kembali, jurulatih menuntut saya agar tidak terlalu tertekan supaya fikiran saya lebih tenang," katanya lagi.