Jaguh pecut negara yang diketuai Khairul Hafiz Jantan membidas kelemahan penganjuran Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2018 yang lewat dua jam daripada jadual asal sehingga menyaksikan dia sekadar meraih tangga kelima dalam final 100 meter di Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Saingan itu menyaksikan pelari Sri Lanka, Vinoj Suranjaya, lebih unggul dengan catatan masa 10.27 saat.

Aksi final 100m lelaki sepatutnya berlangsung pada 5.15 petang. Bagaimanapun, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) gagal menepati jadual sebelum saingan dihentikan selama 20 minit ekoran hujan lebat. Ia menjadi punca utama wakil negara gagal mempertahankan kejuaraan 100m Terbuka Malaysia.

"Aksi final tertangguh hampir dua jam. Kami hanya sempat membuat sedikit aksi pemanas badan selain faktor hujan.

"Permulaan larian saya agak lambat disebabkan saya tidak nampak (sistem elektronik kesilapan permulaan perlumbaan) telah bergerak. Saya sangka ada kesilapan permulaan," kata Khairul Hafiz.

Jonathan Nyepa muncul pelari terbaik negara dengan 10.40s untuk pingat perak sementara Muhammad Haiqal Hanafi meraih gangsa dengan catatan 10.58s.

"Berikutan acara akhir tertangguh agak lama, saya tidak pasti waktu yang sesuai untuk memanaskan badan. Kami hanya menunggu sahaja di ruang menunggu," katanya.

Dalam final 100m wanita pula, Zaidatul Husniah Zulkifli, di landasan tepat untuk bergelar ratu pecut Terbuka Malaysia apabila merangkul emas dengan catatan 11.65s.

Ini kejuaraan ketiga Zaidatul dalam Terbuka Malaysia selepas 2015 dan 2016. Justeru, dia kini berhasrat untuk memburu emas dalam baki acara 200m dan 4x100m.

"Saya belum dapat menjangkakan lagi cabaran yang bakal diberikan negara lain. Jadi, saya akan sentiasa bersedia," ujar Zaidatul.


Keputusan lain:

Lompat tinggi wanita:
1. Ngu Jia Xin (Perak ): 1.71m
2. Yap Sean Yee (ATM): 1.66m
3.Nick Ezzany Sarawa Zulkarnain (Sarawak): 1.40m

1500m lelaki :
1. Awwad Mohammad (Jordan): 3:51.22s
2. Sharif Naim (Jordan): 3:54.58s
3. Ahmad Luth Hamizan (ATM): 4:00.29s