Atlet baling tukul besi negara, Nur Fazira Jalaludin, perlu berusaha lebih keras untuk ke Sukan Asia Indonesia, Ogos depan, secara merit apabila hampir melepasi kelayakan dengan balingan 52.75 meter untuk meraih pingat emas dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Fazira yang mewakili ATM merangkul emas dengan balingan 52.75m sambil kelayakan ke Sukan Asia adalah melebihi 53m.

Dia yang tidak lagi berada di bawah program Majlis Sukan (MSN), sedar perlu menggandakan usaha sekiranya ingin layak dengan rekod peribadinya adalah 53.37m ketika dilakar dalam Sukan SEA 2017.

Kekurangan kejohanan yang disertainya ketika ini juga membataskan peluang Fazira untuk cuba melepasi kelayakan Sukan Asia memandangkan dia bukan lagi bergelar atlet kebangsaan.

"Saya tidak melihat kepada pingat tetapi lebih memikirkan prestasi saya.

"Itu bukan sesuatu yang memuaskan kerana sepatutnya saya mampu melakukan lebih baik. Mungkin ia disebabkan kekurangan pertandingan yang saya harungi," kata Fazira.

Dalam acara 800 meter lelaki, Royson Vincent, yang mewakili ATM meraih emas dengan catatan 1:52.52 saat.

"Ini adalah kejohanan pertama saya dan saya perlu melakukan catatan lebih baik berbanding hari ini," ujar Vincent.

Sementara itu, dalam acara 800 meter wanita, pelari muda negara, Savinder Kaur, mengungguli acara itu selepas mencatat masa 2:21.09s.

"Saya tidak begitu berpuas hati dengan aksi tadi kerana catatan masa saya dua tahun lalu di Vietnam jauh lebih baik," tambah Savinder.