Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim, mahu semua atlet kebangsaan mengambil bahagian dalam Kejohanan Terbuka Malaysia kali ke-95 yang akan berlangsung dari 11 ke 13 Mei ini jika mahu beraksi dalam Sukan Asia 2018 di Jakarta.

Biarpun tidak mewajibkan penyertaan, Terbuka Malaysia adalah medan penilaian terbaik buat mana-mana atlet kebangsaan melepasi masa kelayakan untuk beraksi dalam Sukan Asia.

Tambahan sudah beberapa negara yang mengesahkan penyertaan seperti India, Sri Lanka dan Jepun selain jumlah peserta mencecah hampir 500 atlet, ia bakal menyajikan aksi kompetitif kepada atlet kebangsaan dan tempatan.

"Wajib mengambil bahagian sebagai satu kejohanan kelayakan ke Sukan Asia," kata Karim.

"Kami tidak akan ambil ringan terhadap atlet-atlet utama seperti Irfan Shamsudin, Nauraj Singh dan Khairul Hafiz Jantan yang perlu mengambil bahagian," katanya.

Mengenai rumusan prestasi atlet olahraga dalam Sukan Komanwel, Karim menyelar ada segelintir atlet yang tidak memberikan kesungguhan di Gold Coast.

Enggan menjelaskan siapa atlet terbabit, beliau akan mendedahkan secara terperinci selepas mesyuarat pasca Sukan Komanwel di antara pihak KOM dan Majlis Sukan Negara (MSN), tidak lama lagi.

"Akan ada pemenang dan ada yang akan tewas tetapi bagaimana anda tewas, ia adalah perkara yang penting.

"Kalah dengan maruah atau sekadar seperti mengambil penyertaan. Saya enggan menuduh sesiapa tetapi saya mahu atlet Malaysia memberikan yang terbaik," katanya.