Impian untuk beraksi dalam Sukan Asia buat kali pertama masih samar buat atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong, apabila Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) belum memberi keputusan sama ada akan menghantar atlet yang berada dalam kategori B itu ke Indonesia atau tidak.

KOM ibarat masih bermain tarik tali apabila belum menentukan adakah sanggup membiayai lapan atlet yang diletakkan dalam kategori B ke Indonesia, bulan depan.

Jackie, yang tidak diletakkan sandaran meraih pingat dalam Sukan Asia, tidak menolak gusar dengan kedudukannya ketika ini kerana persiapan telah dilakukan dari awal lagi.

Apa pun keputusan yang bakal dibuat oleh KOM, pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 berkenaan bersikap terbuka kerana sedar dengan tahap prestasi sendiri yang sukar untuk mengatasi pencabar, khususnya dari Tajikistan dan China.

"Saya masih tidak tahu apa yang akan berlaku kerana diletakkan dalam kategori B.

"Kalau diikutkan (percaturan) KOM, saya tidak akan dihantar menyertai Sukan Asia tetapi ada juga kemungkinan saya akan dihantar.

"Saya masih perlu berbincang dengan jurulatih tentang tindakan saya seterusnya," kata atlet dari Sarawak itu.

Atlet berusia 26 tahun itu tetap memasang sasaran peribadi sekiranya dihantar beraksi di Indonesia dengan hasrat memastikan rekod kebangsaan 66.01 meter berjaya dipecahkan buat kali ke-13 selepas sekadar mencatat 64.0 meter sahaja dalam Terbuka Korea Selatan, Jun lalu.

"Saya mencatat rekod baru kebangsaan dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia (Mei lalu), saya mencatat 66.01m tetapi masih ada kekurangan lagi.

"Saya masih berusaha untuk terus meningkatkan prestasi," katanya.