Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu, tidak mahu terlalu bergantung kepada tiket peluang khas Sukan Olimpik Tokyo 2020, sebaliknya meletakkan harapan kepada atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, untuk mengulangi kecemerlangan 12 tahun lalu.

Atlet di ranking ke-17 dunia itu menjadi harapan skuad olaharaga untuk merebut slot ke temasya itu bagi mengulangi pencapaiannya yang pernah layak secara merit ke edisi 2008 lalu.

Tambahnya, prestasi atlet berusia 32 tahun itu cukup meyakinkan, apatah lagi skuad negara masih mempunyai beberapa kejohanan antarabangsa sebelum tarikh kelayakan tutup pada 29 Jun depan.

Bagaimanapun, jika perlu beraksi menerusi kuota peluang khas, KOM masih akan memilih Hup Wei untuk dihantar ke Jepun Julai depan.





"KOM berharap Lee Hup Wei akan layak secara merit dan kami akan menunggu sehingga Jun depan sekiranya ada atlet negara yang mampu menghasilkan pencapaian yang baik untuk layak," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Nurul Syakirah Zulkifly, di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Sementara itu, ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abd Jalil, turut melaungkan keyakinan terhadap kemampuan Nauraj Singh Randhawa, Hakimi Ismail, Irfan Shamsudin, dan Andre Anura Anuar untuk menempah slot ke temasya Tokyo 2020.

"Kami perlu mempunyai beberapa pilihan perancangan.

"Oleh itu, saya akan mengadakan perbincangan dengan barisan kejurulatihan pada minggu depan," katanya pula.