Pelari pecut negara, Siti Fatimah Mohamad, enggan mengambil mudah Kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Malaysia hujung minggu ini dan akan tetap turun selaku atlet bukan pilihan walaupun tanpa kelibat ratu pecut, Zaidatul Husniah Zulkifli.

Siti Fatimah akan menjadi tumpuan dalam kejohanan itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil, namun dia enggan terlalu optimis terhadap peluang menaiki podium.

"Kejohanan di Malaysia bukan mudah, saya mengambil serius terhadap semua kejohanan.

"Tanpa kehadiran pesaing yang hebat atau tidak, ada Zaidatul atau tidak, saya tetap tidak akan mengambil mudah tetapi dengan kehadiran pelari yang hebat, ia boleh menjadi dorongan untuk saya berlari dengan lebih baik.

"Selain kehadiran pelari handalan yang lain seperti S. Komalam dan Azreen Nabila Alias, atlet negeri lain juga pasti ingin berikan saingan bermakna tetapi saya bertekad untuk berikan larian hebat dalam 100m," jelasnya.

GP Malaysia bakal menjadi pelantar kepada atlet pecut negara untuk merebut tempat dalam edisi ke-23 Kejohanan Trek dan Padang Asia ATF di Doha, Qatar, hujung bulan depan.

"Saya melakukan persiapan seperti biasa untuk menghadapi mana-mana kejohanan.

"Saya perlu dalam keadaan yakin dan bersedia.

"Insya-Allah saya akan buat yang terbaik dalam GP Malaysia," tambahnya.