Olahraga Asia: Nauraj intai podium 

Oleh Staff Writer 16 April 2019 739
 Olahraga Asia: Nauraj intai podium 
Jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa, berdepan cabaran sukar dalam Kejohanan Olahraga Trek dan Padang Asia (ATF) 2019 di Doha, Qatar, yang bermula Ahad ini apabila acara itu akan turut disertai pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 dan juara Sukan Asia Indonesia 2018, Mutaz Essa Barshim.

Atlet tuan rumah itu juga merupakan pemegang rekod Asia dengan catatan 2.35 meter.

Sehubungan itu, Nauraj berdepan laluan berliku dalam misi memenuhi sasaran pingat emas yang ditetapkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM). 

"Tentunya saya akan bertanding di sana dengan fokus untuk memberikan aksi terbaik serta mahu mencapai potensi sebenar kami," katanya yang akan berlepas ke Doha, Jumaat ini. 

Begitupun, Nauraj tidak rela reputasi Mutaz mengaburi harapannya untuk menamatkan kemarau emas dalam Kejohanan Asia seperti yang dilakukan seorang lagi jaguh negara, Lee Hup Wei, 12 tahun lalu. 

Malah, Nauraj mengintai untuk setidak-tidaknya menyamai rekod kebangsaan, 2.30m, yang bukan sahaja boleh menghidupkan peluangnya memenangi pingat, malah membantunya layak ke Kejohanan Olahraga Dunia, juga di Doha, September depan. 

"Sejak Lee Hup Wei meraih emas pada 2007, tahap pertandingan Kejohanan Asia telah banyak meningkat.

"Saya tidak fikir catatan 2.24m pada hari ini akan membantu saya memenangi emas.

"Apapun, ia sesuatu yang boleh dicapai dan bukannya fantasi. 

"Sudah tentu ia menjadi matlamat utama saya tahun ini selain hasrat saya untuk melakukan kemunculan kedua dalam Kejohanan Dunia," katanya. 



 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen