Nur Suryani tekad bangkit dalam Sukan Asia

Oleh Staff Writer 18 Mei 2018 425
Nur Suryani tekad bangkit dalam Sukan Asia
Penembak negara, Nur Suryani Mohamed Taibi bertekad menjadikan Sukan Asia Jakarta-Palembang, Ogos depan, sebagai medan kebangkitan skuad menembak negara yang hambar dalam Sukan Komanwel Gold Coast, bulan lalu.

Bagi Nur Suryani, dia bukan mahu memberikan alasan kegagalan di Gold Coast, namun hakikatnya keadaan angin yang tidak menentu memberikan kesukaran buat ramai penembak di sana.

Nur Suryani berasakan Sukan Asia di Indonesia kali ini mungkin mampu mendatangkan tuah buat dirinya, apatah lagi pernah menyumbang dua emas di Lapang Sasar Jakabaring Palembang ketika Sukan SEA 2011.

"Aksi di Gold Coast agak berbeza kerana ia berada di kawasan tepi laut. Untuk Palembang, saya pernah beraksi di sana sewaktu Sukan SEA dan angin di sana sedikit serasi seperti Malaysia," katanya.

Bagaimanapun, Nur Suryani menyedari dia perlu berada di tahap terbaik untuk beraksi di pentas Sukan Asia jika mahu memastikan kilauan pingat.

Sementara itu, seorang lagi penembak negara, Ezuan Nasir Khan, berharap skuad menembak negara berpeluang menjalani persiapan di luar negara sebelum ke Sukan Asia. 

Bagi Ezuan, latihan di luar negara mampu menghadirkan dimensi berbeza dalam usaha memberi cabaran kuat kepada lawan dari Korea Selatan, China dan juga India nanti.

"Sebelum Sukan Komanwel, kami tidak mempunyai sebarang aksi di luar negara, jadi kami agak terkejut apabila berada di sana. 

"Jika dilihat pada 2014, setiap bulan kami bertanding di luar negara sehingga ia menjadi satu kebiasaan," kata Ezuan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen