Selepas hambar dalam aksi jelajah pertama, skuad negara cemerlang memastikan gelaran dalam Kejohanan Jelajah Boling Tenpin Asia (ABF) 2018 di Macau menerusi Nora Lyana Nastasia yang menundukkan wakil Jepun, Futaba Imai, menerusi kemenangan 267-209, hari ini.

Selepas menundukkan lawan dari Korea Selatan, Kim Hyun-a, menerusi kemenangan tipis 235-234 dalam aksi separuh akhir, Nora Lyana terus mengekalkan rentak konsisten dalam aksi final bertemu seteru dari Jepun itu.

Futaba mara ke final selepas mengecewakan seorang lagi wakil negara, Hee Kar Yen.

Nora Lyana mempamerkan belang seawal saingan final bermula dengan mendahului permainan 158-113 selepas enam balingan.

Biarpun lawan cuba memperkemaskan aksi, namun aksi konsisten Nora Lyana menyaksikan pemain kelahiran Kuala Lumpur itu cemerlang memastikan kemenangan dalam jelajah kedua ABF di Macau menerusi kemenangan 267-209.

Siri jelajah ketiga ABF akan diteruskan pada 1 Julai depan di Hong Kong sebelum saingan penutup di Taiwan, seminggu kemudian.