Bidaan nombor pendaftaran kenderaan khas 'Rimau' sempena penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 akan mula dibuka pada 1 April ini.

Bidaan boleh di buat di www.kualalumpur2017.com bermula pada harga RM500, dari nombor Rimau 1 sehinggalah Rimau 9999.

Minat dan sambutan terhadap plat Rimau ini dijangka cukup menggalakkan dan ia secara tidak langsung dapat membantu dana kos penganjuran Sukan SEA.

Proses bidaan dilakukan di atas talian menerusi sistem E-Bida.

"Kami berharap bidaan dibuat sebanyak mungkin daripada siri nombor kenderaan khas ini.

"Kami tidak meletakkan sasaran kerana ia berdasarkan permintaan terhadap bidaan yang dibuat," kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Nombor pendaftaran khas seperti SUKOM ketika Sukan Komanwel 1998 mendapat sambutan cukup menggalakkan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) percaya nombor pendaftaran Rimau juga mempunyai daya tarikan.

"Dari segi kutipan, kami perlu tolak urusan proses bidaan, bakinya selepas itu akan digunakan untuk kos penganjuran," tambah beliau.