Atlet olahraga negara, Nixson Kennedy, khuatir kurang mendapat pendedahan dalam kejohanan musim 2020 tatkala Terbuka Malaysia yang belum ditentukan tarikhnya bakal menjadi kejohanan pertama bagi memastikannya membuktikan kredibiliti untuk terus mendapat kepercayaan dalam skuad kebangsaan.

Kehadiran pelari muda seperti Haiqal Hanafi yang bergelar Raja Pecut Asia Tenggara dalam Sukan SEA Filipina 2020 serba-sedikit menggugat kedudukannya.

Keadaan itu menyebabkan Nixson diketepikan dalam beberapa kejohanan musim ini, namun pelari berusia 24 tahun itu optimis masih relevan buat skuad kebangsaan.

Aksinya dalam Sukan SEA yang lalu menyaksikannya meraih pingat perak menerusi acara 4x100 meter lelaki sementara gangsa dalam acara 4x100 meter campuran.

"Saya tidak berapa risau dengan mereka (pelari baru).

"Kami masing-masing berlatih dan saya juga mempunyai banyak pengalaman.

"Kita tengoklah (perkembangan masing-masing) dalam kejohanan akan datang," katanya di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Dalam pada itu, Nixson turut mengharapkan latihan bersama kuartet 4x100 meter kebangsaan dapat dijalankan bersama bagi memperbaiki prestasi musim ini selain sebagai persiapan awal untuk menghadapi Sukan SEA Hanoi 2021 kelak.

"Memandangkan ketika ini kami berlatih berasingan, saya mohon kami dapat berlatih bersama bagi menghadapi Sukan SEA yang akan datang."




Editor: Shaiful Shamsudin