Ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David, tidak berasa kesal dengan keputusan untuk bersara daripada sukan yang paling dicintainya itu setelah melalui tempoh karier gemilang lebih dua dekad.

Nicol memegang rekod pemain paling lama menghuni ranking nombor satu dunia, iaitu selama sembilan tahun, sebelum dirampas jaguh Mesir, Reneem El Weleily, pada 2015.

Namun, atlet berusia 35 tahun dari Pulau Pinang itu yakin bahawa keputusan untuk bersara adalah perkara terbaik untuknya.

"Saya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa saya akan bersara Jun nanti. Ia bakal menjadi musim terakhir sebagai pemain skuasy profesional," kata Nicol ketika siaran eksklusif Nadi Arena semalam.

"Saya memerlukan tempoh hampir setahun enam bulan untuk memikirkan keputusan ini. Saya fikir ini adalah apa yang saya perlu lakukan.

"Jurulatih saya dari Australia, Liz Irving, pernah berkata bahawa jika anda tahu mengenai sesuatu, anda akan tahu. Saya yakin ini adalah waktu terbaik saya."