Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, perlu segera bangkit daripada prestasi tidak konsisten dalam tiga kejohanan jelajah dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) 2018 sekiranya enggan kemarau kejuaraan terus berulang.

Bekas pemain nombor satu dunia itu mengharungi detik sukar dalam kariernya sejak dua tahun lalu tanpa sebarang gelaran juara Jelajah PSA dengan kali terakhir melakukannya ketika menjulang Terbuka Hong Kong pada Disember 2015.

Kali terakhir Nicol muncul juara adalah pada Mac tahun lalu, iaitu dalam Terbuka Ciudad de Floridablanca, Colombia, sebelum prestasinya kembali terumbang-ambing di pentas Jelajah PSA 2018.

Malah, pingat emas dalam Sukan Asia Indonesia masih belum menjamin prestasinya di tahap terbaik, dengan dia bakal menghadapi Terbuka Hong Kong, Isnin depan.

"Saya berasakan ia masih terlalu jauh untuk diramal (untuk bergelar juara).

"Sudah pasti semua pemain ingin merebut gelaran.

"Apapun, saya hanya memberi fokus kepada pusingan pertama terlebih dahulu sebelum melihat lebih jauh," katanya.

Pemain di ranking ke-10 dunia itu tidak asing dalam Terbuka Hong Kong selepas 10 kali menjulang kejuaraan berkenaan sejak 2006. Namun, gelaran itu terlucut sejak 2016.

"Saya memenangi Kejuaraan Dunia di sana, Hong Kong semestinya destinasi istimewa untuk saya.

"Penganjurannya cukup menarik dan saya teruja untuk beraksi di sana sekali lagi.

"Saya sentiasa mempunyai perasaan yang baik di Hong Kong, termasuk dalam saingan remaja.

"Hong Kong sentiasa menawarkan memori istimewa buat saya," katanya lagi.