Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, menganggap pencapaian dan kejayaan ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, tiada galang gantinya di sebalik desas-desus pemain itu ingin menggantung raket.

Memegang rekod sebagai pemain wanita nombor satu dunia paling lama dengan tempoh 108 bulan, atlet kelahiran Pulau Pinang berusia 36 tahun itu sememangnya pemain yang istimewa.

Dia menjadi pemain pertama untuk memenangi gelaran remaja dunia sebanyak dua kali di samping meraih pelbagai lagi kejayaan di peringkat senior, iaitu 81 gelaran keseluruhan.

Menurut Norza, apa yang dicapai oleh Nicol sesuatu yang tidak mungkin dapat diulangi oleh mana-mana pemain dan itu meletakkannya dalam kelas yang tersendiri.

"Dia menunjukkan contoh dalam perjalanan kariernya, terutama kepada negara dan pemain muda," kata Norza.

Dalam masa sama, Norza juga berpandangan apa jua keputusan yang diambil Nicol mempunyai impak yang berbeza seandainya ia berlaku kepada jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Selain Nicol, hanya Chong Wei yang pernah bergelar sebagai pemain nombor satu dunia dan dia juga semakin di penghujung karier pada usia 37 tahun.

"Mereka tidak boleh dibandingkan, apatah lagi badminton dipertandingkan dalam Sukan Olimpik.

"Lagipun, Chong Wei masih bercita-cita untuk menyempurnakan impiannya untuk beraksi dalam temasya Tokyo 2020 yang mungkin merupakan Sukan Olimpik terakhir buatnya," tambah beliau.