Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, tidak akan menyertai Kejohanan Individu Asia 2019 sebagai aksi terakhirnya di laman sendiri sebelum menggantung raket Jun depan kerana ingin fokus kepada Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA).

Sebelum ini, Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) dalam usaha untuk menyunting pemain berusia 35 tahun itu agar menyertai Kejohanan Individu Asia di Kuala Lumpur, Mei depan sebagai aksi terakhirnya di hadapan penyokong tanah air sebelum bersara.

Bagaimanapun, SRAM menghormati keputusan Nicol kerana jadual yang agak padat untuknya fokus kepada Jelajah PSA sahaja yang akan berakhir Jun depan.

Apa yang pasti, Nicol tetap akan kembali ke tanah air bagi bertemu seluruh peminat negara sebagai tanda terima kasih sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada kariernya.

"Nicol pernah memenangi sembilan gelaran Kejohanan Individu Asia dan sudah semestinya tiada apa sangat yang perlu dibuktikannya lagi di sini.

"Malah, dia juga sudah menetapkan untuk menyertai beberapa kejohanan utama antarabangsa sebagai tanda perpisahan dan saya pasti Nicol juga akan berbuat demikian kepada peminatnya di sini.

"Atas alasan ini, Nicol memilih untuk tidak akan menyertai Kejohanan Individu Asia," ujar Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S. Maniam.

Sementara itu, Maniam menaruh kepercayaan kepada pemain ranking ke-34 dunia, Nafiizwan Adnan, untuk menjuarai Kejohanan Individu Asia yang akan menjadi aksi terakhirnya sebelum bersara, seterusnya bakal ditawarkan sebagai jurulatih skuad lelaki negara.

"Saya harap dapat meyakinkannya untuk menggalas tugas sebagai jurulatih dan dia sedang mempertimbangkannya.

"Dia akan memaklumkan hala tujunya minggu depan," ujarnya lagi.