Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menegaskan bekas juara dunia skuasy, Datuk Nicol David, berhak menerima lebih daripada pencen sebagai imbuhan terhadap sumbangannya mengharumkan nama negara.

Enggan mendedahkan jumlah pencen atau insentif lain yang bakal diterima Nicol, beliau berkata Majlis Sukan Negara (MSN) masih berbincang dengan bekas ratu skuasy negara tersebut, termasuk sebarang bantuan dan rancangan yang mahu dilakukan Nicol.

"Dia berhak terima lebih daripada pencen memandangkan dia adalah juara dunia lapan kali. Tetapi bentuk bantuan (yang akan diberi), biarlah dia sendiri yang umumkan.

"Kami memberi dia ruang dan menghormatinya untuk dia umumkan sendiri, " kata Syed Saddiq yang ditemui selepas menghadiri Forum Konflik Kepentingan: Analisis dan Syor berhubung Pencegahan Naungan Politik dan Rasuah di Malaysia, di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, Syed Saddiq dilapor mengarahkan kementeriannya memberikan bantuan kepada Nicol dalam menjayakan perancangannya membangunkan sukan skuasy di negara ini.

Selesa lalu, Nicol yang menceburi sukan tersebut sepanjang lebih dua dekad lalu, mengumumkan​​​​​​​ bakal menamatkan kariernya Jun depan selepas musim jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA) 2018/19 berakhir.

-- BERNAMA