Pengarah Program Podium, Tim Newenham, kesal dengan insiden skuad terjun negara berfoya-foya ketika kem latihan di China, malah tidak menolak hukuman digugurkan daripada kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

Video beberapa penerjun negara mengambil minuman keras tersebar di laman sosial.

Ia menunjukkan pergaulan bebas antara penerjun lelaki dan wanita tanpa kawalan jurulatih hingga menjejaskan imej sukan negara.

Pegawai Program Podium, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) telah memanggil semua penerjun untuk menjalankan siasatan dengan keputusan awal, elaun latihan mereka digantung dan berdepan hukuman tidak lama lagi.

"Saya tidak berasakan ini adalah sikap yang perlu ditampilkan oleh atlet berkelas dunia," kata Newenham.

"Kami amat sedih dengan perkara yang berlaku dan MSN akan bekerjasama bagi menyelesaikan perkara ini," kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

"Atlet-atlet ini telah dikenakan tindakan. Mereka mengakui ia merupakan satu kesalahan yang besar di atas perlakuan tersebut dan berharap ia tidak akan berulang," kata Setiausaha Kehormat ASUM, Mae Chen.

ASUM mengeluarkan kenyataan bahawa penerjun terbabit seperti Pandelela Rinong, Chew Yiwei dan Tracy Vivian Tukiet mengaku salah.

Jawatankuasa siasatan akan mencadangkan hukuman kepada Jawatankuasa Disiplin ASUM dalam masa terdekat sambil elaun latihan penerjun digantung.

Sementara itu, penerjun dan jurulatih negara enggan memberi sebarang kenyataan mengenai insiden itu.