Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan Tim Newenham diarah mengambil alih jawatan Pengarah Sukan Berprestasi Tinggi yang ditinggalkan Keith Power ketika desakan untuk merombak Program Podium belum lagi reda.

Newenham selaku Pengarah Program Podium kini memegang dua tugas penting sukan negara.

KBS berpendapat beliau individu paling sesuai menggantikan Power yang meletak jawatan akhir tahun lalu, dengan atlet Malaysia ketika ini dalam persiapan menghadapi Sukan Asia Jakarta, Ogos depan.

Tindakan itu umpama menyambut cadangan pemerhati agar jawatan pengarah Program Podium diserahkan kepada pegawai tempatan.

Namun, KBS masih perlukan masa untuk meneliti perkara itu.

"Ini adalah untuk menambah baik lagi Program Podium untuk masa akan datang," kata Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali.

Program Podium dikritik apabila Malaysia gagal mencapai sasaran menduduki kelompok 10 negara terbaik Sukan Komanwel Gold Coast, minggu lalu.

Program menelan kos jutaan ringgit itu akan menghadapi ujian kedua dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang, 18 Ogos-2 September depan dengan sasaran sama.

"Saya berasakan kami perlu melalui proses ini kerana kami memiliki misi, iaitu Sukan Olimpik 2020, Malaysia akan membutirkan pingat emas pertama," katanya.