Timbalan Presiden Taekwondo Malaysia (TM), Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, dicalonkan untuk jawatan timbalan presiden dan setiausaha agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menjelang mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu, 5 Mei depan.

Perebutan jawatan timbalan presiden MOM kembali menjadi tiga penjuru dengan pencalonan Nazifuddin.

Ia susulan penarikan diri Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, untuk bersaing dengan Datuk Seri Abdul Azim Zabidi dan Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

"Saya bersama dengan preisden yang akan datang. Kami akan mengadakan perbincangan selepas pemilihan tertutup.

"Sebagai sebuah keluarga dalam MOM, kami akan memberikan yang terbaik untuk barisan akan datang," kata Nazifuddin mengenai proses pencalonan AGM yang akan tamat Selasa ini.

Sementara itu, barisan bekas atlet olahraga berharap jumlah wakil mereka dapat ditambah untuk memegang jawatan dalam MOM.

Antara nama yang dikaitkan, chef-de-mission (CDM) ke Sukan SEA Kuala Lumpur, Datuk Marina Chin.

Bekas atlet lompat bergalah negara, Roslinda Samsu, mengulas mengenai pemilihan Marina: "Beliau mempuyai ciri-ciri kepimpinan, malah beliau merupakan bekas atlet.

"Sudah tentu beliau lebih memahami apa yang atlet mahukan."

Bekas atlet baling tukul besi, Wong Tee Kui, turut menyokong langkah itu.

"Sudah tentu mereka mampu membantu atlet mencapai kejayaan lebih besar dalam kejohanan lebih besar seperti Sukan Asia, Komanwel dan Olimpik," katanya.