Jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa, mengambil keputusan untuk meneruskan latihan di bawah bimbingan Alex Stewart bulan depan selepas memperbaharui rekod kebangsaan dalam Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Erdgas di Jerman minggu lalu.

Nauraj enggan membuang masa dengan sekadar berlatih di tanah air tanpa perancangan yang jelas, sebaliknya nekad ingin kembali berpangkalan di Australia bersama Stewart.

Ia susulan kejayaannya memecah rekod kebangsaan 2.19 meter yang merupakan prestasi terbaiknya ketika berlatih di Eropah dengan menggunakan wang poket sendiri.

Keputusan untuk kembali ke Australia itu juga memerlukan pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi membayar gaji Stewart seperti yang dilakukannya sejak Oktober tahun lalu.

"Saya tidak sabar untuk kembali ke Australia bagi menyelesaikan beberapa perkara.

"Saya akan memanfaatkan latihan di sana untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi Kejohanan Olahraga Asia, April depan.

"Ia amat penting untuk saya memantapkan aspek teknikal dan beberapa perkara lain dengan jurulatih saya di sana," katanya.

Nauraj, yang tiba di tanah air dari Jerman hari ini, perlu memastikan pengorbanannya untuk terus berlatih di Australia itu tidak sia-sia dengan misi utamanya adalah untuk layak secara merit ke Kejohanan Olahraga Dunia, September depan.

"Sasaran utama saya adalah untuk melayakkan diri ke Kejohanan Olahraga Dunia di Doha.

"Ketinggian yang saya perlu atasi adalah 2.30 meter.

"Saya perlu berlatih dan mendapatkan pendedahan bagi mencapai sasaran itu.

"Jika saya berlatih di Kuala Lumpur, peluang itu mungkin ada tetapi lebih tipis," tambahnya.