“Saya tidak perlukan diva.”

Itu komen jurulatih skuad karate negara, Ali Reza Souleymani, mengenai risiko jaguh kumite, Syakilla Salni Jefry Krishnan, digugurkan daripada skuad kebangsaan selepas Persatuan Karate Malaysia (MAKAF) mengadakan mesyuarat dengan Majlis Sukan Negara (MSN) esok.


Ali Reza menegaskan dia hanya mahu melatih atlet yang komited mewakili negara susulan tindakan Syakilla tidak turun berlatih sejak tiga minggu lalu atas pelbagai alasan, termasuk mahu fokus terhadap pelajaran.

Jadi, mesyuarat di antara MAKAF dan MSN akan memutuskan nasib Syakilla sama ada mengekalkannya sebagai prospek pingat Sukan Olimpik Tokyo 2020 atau menggugurkannya.

Tindakan Syakilla itu dipercayai berkaitan dengan tindakan MSN menamatkan kontrak bekas pengendali kebangsaan, Andris Vasiljevs, 31 Disember lalu.

"Sesiapa yang hadir ke sini, tugas saya adalah melatih mereka. Saya tidak boleh merayu kepada mereka. Berdasarkan peraturan, atlet perlu mengikut jurulatih dan setiap latihan," kata Ali Reza.

"Syakilla seorang atlet yang bagus tetapi saya lebih perlukan disiplin. Dia mungkin bersama saya beberapa jam tetapi saya rasa dia tidak mahu mengikut saya kerana masih berhubung dengan jurulatih lama."

Vasiljevs telah membentuk Syakilla sehingga meraih emas Sukan Asia 2014 selain menduduki ranking pertama dunia kategori 61 kilogram sepanjang tempoh enam tahun di Malaysia.

Masalah timbul apabila Persekutuan Karate Dunia (WKF) mengubah kategori Olimpik Tokyo sehingga Syakilla terpaksa menyertai saingan 55kg yang menjejaskan prestasinya.