Keputusan dua atlet berbasikal para tandem negara, sama ada akan beraksi dalam Sukan Para ASEAN atau sebaliknya, hanya akan diketahui dalam tempoh lima hari selepas melewati sesi pemulihan setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Secara fizikal, tiada kecederaan serius berlalu, namun hari kedua sesi pemulihan menyaksikan Mohd Khairul Nizam Mohd Ali dan Mohd Khairul Hazwan Wahab masih berasa kesakitan di bahagian bahu dan pergelangan kaki.

Menurut ketua perubatan kontinjen Sukan Para ASEAN negara, Dr Azril Syazwan Mohd Ali, keputusan sama ada mereka mampu beraksi atau sebaliknya hanya akan diketahui selewat-lewatnya lima hari lagi.

"Saya akan berbincang dengan chef-de-mission dan juga pegawai berkaitan, termasuk pihak pengurusan atlet, untuk mengetahui bilakah tarikh akhir untuk kita memberi jawapan kepada status kecergasan kedua-dua atlet itu. Saya jangkakan tiga empat atau lima hari lagi," katanya.

Keutamaan ketika ini adalah memantau kesan gegaran otak yang dialami atlet-atlet tersebut yang masih merasai kesan kemalangan itu seperti pening kepala, masalah keseimbangan serta sukar tidur.

"Mereka berisiko tinggi untuk mengalami kecederaan lain sekiranya dibenarkan kembali berlatih tanpa kesembuhan penuh dan boleh mengakibatkan komplikasi yang lebih serius, termasuk kematian."

Nama kedua-dua atlet itu masih dalam pasukan dan hanya akan diberikan kebenaran untuk menjalani latihan sekiranya mereka pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan kesan dalaman.