Pencarian tenaga tambahan buat barisan kejurulatihan skuad skuasy negara perlu diteruskan selepas bekas pemain lelaki nombor 1 negara, Nafiizwan Adnan, menolak tawaran Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM).

SRAM menerusi pengarah kejurulatihannya, S. Maniam, meletakkan penghujung bulan ini sebagai tarikh tutup buat tawaran yang diberikan kepada Nafiizwan.

Bagaimanapun, ketua jurulatih skuad negara, Ajaz Azmat, mendakwa bahawa Nafiizwan sudah memaklumkan kepada SRAM tentang keputusannya untuk menolak lamaran tersebut.

Bagi Ajaz, keputusan pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Gold Coast 2018 itu perlu dihormati walaupun ia mendatangkan rasa terkilan bagi pihak SRAM.

Ajaz turut menegaskan pencarian jurulatih yang setaraf pemain berpengalaman itu akan tetap diteruskan dengan memberikan keutamaan buat bakat-bakat tempatan.

"Ia baik andai dia menyertai kami, namun SRAM akan mencari calon lain yang sama taraf dengannya andai dia menolak tawaran itu.

"Kami akan melihat siapa yang akan dilantik SRAM nanti.

"Terdapat ramai calon di sini dan kami akan menilai calon yang sesuai.

"Kami mempunyai beberapa pemain yang baru sahaja bersara daripada skuasy sama ada lelaki atau wanita.

"Keutamaan akan diberikan kepada warga Malaysia dan kemudian calon dari luar negara," katanya.