Atlet olahraga negara, Shahidatul Nadia Mohd Zuki, memerlukan tempoh sekurang-kurangnya enam bulan untuk mengembalikan persediaan mental dan fizikal selepas pulih daripada demam denggi bagi mengharungi kelayakan Sukan SEA Filipina 2019.

Nadia, yang baru memulakan latihan tahun ini, mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap Kejohanan Terbuka Malaysia untuk mengatasi catatan 6.50 meter dalam acara lompat jauh bagi melayakkan diri ke Manila, November depan.

Atlet berusia 23 tahun itu turut berazam memecahkan rekod kebangsaan 6.29m milik Noor Amira Mohamad Nafiah yang dilakukan dalam Kejohanan Olahraga Asia (ATF) 2015 di Wuhan, China.

"Saya punya perancangan adalah melayakkan diri ke Sukan SEA, ATF serta Sukan Universiti Dunia (WUG). ATF akan dilangsungkan di Doha, April nanti," kata Nadia.

"Saya kini cuba berlatih bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang dimahukan kerana prestasi tahun lalu tidak begitu baik."

Dalam Sukan SEA 2017, Nadia beraksi dalam acara lompat jauh dan lompat kijang tetapi gagal menyumbang sebarang pingat buat negara.