Pelumba maraton negara, Muhaizar Mohamad, merayu kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menghulurkan bantuan, terutama kepakaran pemakanan dan teknik latihan, bagi menjayakan hasratnya beraksi dalam Sukan SEA Filipina 2019.

Muhaizar pernah mencuri tumpuan dalam saingan Sukan SEA tahun lalu apabila meraih gangsa acara maraton, iaitu pingat sulung negara dalam tempoh 44 tahun.

Namun, kejayaannya itu belum cukup mengubah apa-apa dalam karier atlet itu yang masih kekal berlatih sendirian.

Bagaimanapun, Muhaizar berkata dia telah dihubungi secara lisan oleh pengawai MSN dan sehingga kini masih menanti tawaran rasmi.

"Kena tunggu surat daripada MSN. Belum ada lagi setakat ini, saya harap akan ada selepas ini. Kalau berlatih dalam program, akan ada peningkatan kerana ia lebih tersusun. Kalau berlatih seorang diri memang sukar," katanya.

Anggota tentera dari Kem Sungai Udang, Melaka itu, mahu terus konsisten dalam prestasinya dengan cuba mencipta kejuaraan hatrik dalam Maraton Standard Chartered Kuala Lumpur tahun ini.

"Kalau perlumbaan besar seperti Maraton Standard Chartered, memang ada saingan sengit daripada seorang, dua pelumba kuat daripada Malaysia," katanya lagi.