Rafael Nadal menolak cadangan laluannya dalam saingan Terbuka Perancis adalah mudah, sebaliknya menegaskan setiap hari adalah "ujian besar" buatnya.

Juara bertahan itu menempah slot suku akhir Roland Garros dengan kemenangan ke atas Maximilian Marterer semalam, meneruskan rentak kemenangan straight-set dalam kejohanan itu tahun ini.

Tetapi Nadal, yang berada di landasan untuk menjulang kejuaraan buat kali ke-11, tidak menghiraukan lawan yang perlu ditentang dalam kejohanan kali ini selepas menerima tentangan sengit daripada Marterer.

"Ujian besar saya adalah setiap hari. Ini merupakan ujian yang penting," katanya. "Saya berada dalam suku akhir dan ujian terbesar saya adalah pusingan seterusnya.

"Saya cuba mengharungi satu perlawanan demi satu perlawanan. Saya mahu memastikan permainan terbaik dapat ditampilkan.

"Ia adalah sasaran saya dan saya tahu ia mampu dilakukan.

"Setiap hari, anda turun ke gelanggang. Anda mampu menang; anda mungkin tewas.

Pemain kelahiran Sepanyol itu menolak perbincangan mengenai lawannya dalam suku akhir, Diego Schwartzman, kerana Nadal menjangkakan ia adalah perlawanan yang sukar.

"Schwartzman adalah pemain ke-12 dunia. Ia merupakan perlawanan berdepan seorang pemain terbaik dunia hari ini, saya menjangkakan aksi sengit."