Kehadiran jurulatih ping pong berpengalaman dari China, Mu Tong, menerbitkan harapan baru untuk menamatkan kemarau 30 tahun skuad negara dalam usaha meraih pingat emas di pentas Sukan SEA Filipina hujung tahun ini.

Mu Tong menjadi taruhan untuk mengemudi skuad negara bersama-sama Beh Lee Wei dengan Kejohanan Dunia di Budapest April depan menjadi tugasan pertamanya.

Berbekal pengalaman selaku jurulatih kebangsaan di Jepun selama lapan tahun sejak 1999, Mu Tong mampu menyuntik sentuhan lebih berkesan dalam latihan bagi misi menamatkan penantian emas Sukan SEA selama 30 tahun di Filipina.

Dia juga pernah menjadi tulang belakang kepada peningkatan prestasi bekas atlet Jepun, Ai Fukuhara, selaku pemenang perak Sukan Olimpik 2012.

"Saya teruja dapat hadir ke Malaysia selaku jurulatih. Apa yang pasti, Kejohanan Dunia dan Sukan SEA menjadi sasaran utama. Saya pernah membentuk atlet di Jepun seperti Fukuhara dan akan menggunakan pengalaman itu di sini," kata Mu Tong.

Sementara itu, Lee Wei menganggap kehadiran Mu Tong tepat pada masa tatkala seorang lagi jurulatih, Beh Lee Fong, sudah tidak bersama pasukan.

Bukan itu sahaja, mereka turut dibantu oleh seorang jurulatih dari Filipina, Julius Esposo, bagi mengemudi skuad muda.

"Bagi saya, sama sahaja kerana saya akan bantu mana yang mampu. Kemasukan jurulatih baru juga boleh menambah kekuatan skuad negara," ujar Lee Wei.