Setiausaha Agung Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC), Maradona Chok, mahu membentuk kaedah latihan baru sebagai persiapan menghadapi dua kejohanan penting tahun ini.

Ia merupakan satu inisiatif baru badan itu selepas melihat lebih mendalam masalah yang dihadapi barisan atlet negara sebelum ini.

Pembaharuan itu turut dilakukan sebagai langkah persiapan mendominasi Kejohanan Asia di Hong Kong, Julai depan serta Kejohanan Boling Perseorangan Dunia yang diadakan setiap empat tahun, November nanti.

MTBC juga bakal mengadakan mesyuarat bagi membincangkan program tahun 2020 selepas selesai menjalani post mortem Sukan SEA Filipina yang dijadualkan esok.

"Akan ada banyak perubahan daripada segi cara latihan dan fokus. Kini fokus ialah untuk memastikan atlet mampu beraksi di bawah tekanan.

"Sewaktu Sukan SEA, ada beberapa kelemahan dapat dilihat, jadi latihan lebih spesifik diperlukan. Diharapkan kami dapat meningkat," katanya.

Dalam masa sama, Maradona berharap skuad boling negara dapat menyertai Cabaran Brunswick Eropah 2020 yang dijadualkan Mac depan sebelum menghadapi Terbuka Malaysia.

"Diharapkan kami memulakan kejohanan pada Mac depan. Kami masih belum tahu perancangan tahun ini. Semua perancangan mungkin akan diketahui hujung bulan ini."



Editor: Nafis Abdullah