Muhammad Fakhrul Abdul Aziz dan Nur Shafieka Natasha Abd Rahim menjadi atlet terpantas dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2018 selepas mengungguli acara 100 meter bawah 18 tahun (B-18), hari ini.

Acara 100m menjadi tumpuan hari pertama kejohanan dengan kategori B-18 lelaki menyaksikan Pulau Pinang, Sarawak dan Johor masing-masing mempunyai dua wakil.

Permulaan yang baik menyaksikan Fakhrul yang mewakili Pulau Pinang mengatasi pencabar lain untuk menamatkan saingan selaku juara dengan catatan 10.62 saat.

Muhammad Din Nordik dari Sabah di tempat kedua, diikuti wakil Johor, Mohamad Haiqal Abdul Rahman.

Saingan perempuan pula lebih dramatik dengan peserta pilihan dari Sabah, Ikma Syafierra Duris, dibatalkan akibat kesalahan permulaan larian.

Situasi itu secara tidak langsung membuka peluang buat atlet Terengganu, Nur Shafieka, untuk muncul juara selepas merekodkan 12.41 saat.

M. Darshini dan Nur Aini Qurratul Ain masing-masing dari Pahang serta Perak melengkapkan kedudukan podium.

Dalam masa sama, acara 800 meter B-18 lelaki dimenangi Wan Muhammad Fazri Wan Zahari dari Kelantan dengan catatan 1:59.68s.

J. Padhmaloshini (Johor) menguasai saingan perempuan menerusi catatan 2:20.28s.