Majlis Sukan Negara (MSN) bakal mengadakan pertemuan dengan Persatuan Pingpong Malaysia (TTAM) untuk menentukan kedudukan jurulatih kebangsaan, Beh Lee Wei.

Sejak Mei lalu, kedudukan pengendali itu kelihatan tergugat apabila skuad ping pong negara menerima khidmat ketua jurulatih baru dari China, Mu Tong, dan seorang lagi dari Filipina dalam persediaan ke Sukan SEA, November depan.

Perkara itu lebih meyakinkan apabila Lee Wei sudah beberapa minggu tidak kelihatan ketika sesi latihan skuad negara dan menurut MSN, mereka telah menerima notis daripada TTAM ingin menamatkan kontrak jurulatih itu.

Bagaimanapun, MSN hanya akan memberi kata putus pada Isnin ini selepas mengadakan mesyuarat jawatankuasa bersama badan induk itu.

"Kami telah menerima makluman daripada persatuan pada awal bulan ini berkenaan cadangan untuk menamatkan khidmat Lee Wei sebagai jurulatih di bawah Program Podium.

"Memandangkan Sukan SEA semakin hampir, kami tidak mahu sebarang keputusan yang dilakukan memberi kesan kepada pasukan," kata Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin.

Walaupun belum diputuskan mengenai khidmat Lee Wei, beberapa pemain senior seperti Ashraf Haiqal Rizal dan Ho Ying sudah berasa terkesan dengan ketiadaan jurulatih kebangsaan itu ketika sesi latihan.

"Kami kena teruskan latihan seperti biasa tanpa dia dan berusaha sendiri di bawah bimbingan jurulatih baru," ujar Ashraf.

"Dia mengajar saya teknik dan prestasi. Kami meraih pingat gangsa dalam Sukan Komanwel yang lalu di bawah bimbingannya," tambah Ho Ying.