MSN tolak permohonan Syakilla

Oleh Staff Writer 23 Mei 2019 2046
MSN tolak permohonan Syakilla
Majlis Sukan Negara (MSN) mengambil keputusan berani menolak permohonan Syakilla Salni Jefry Krishnan berlatih di Latvia, malah memberi tempoh hingga September depan untuk jaguh karate-do itu menurunkan berat badannya hingga 55 kilogram untuk memburu mata kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ini keputusan paling tegas MSN membabitkan permintaan atlet yang dianggap berstatus bintang.

Ketua pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, menegaskan pihaknya tidak boleh tunduk dengan permintaan Syakilla untuk ke Latvia kerana berat badannya kini melebihi 60kg.

Jadi, buat masa ini, Syakilla perlu berlatih di Malaysia walaupun enggan menyertai kem latihan kebangsaan.

"Kami meletakkan sasaran hingga saingan kelayakan Sukan Olimpik di Tokyo, September ini, Syakilla perlu memastikan berat badannya kembali ke 55kg," katanya.

"Ini merupakan satu cabaran buat Syakilla. Buat masa ini, kami masih lagi mendapatkan pelan latihan yang terbaik buat Syakilla."

Bekas atlet karate ranking pertama dunia kumite 55kg itu sudah terlepas banyak kejohanan sejak mengalami masalah berat badan sejak tahun lalu sebelum menyuarakan beberapa permintaan dan terbaru, untuk berlatih di Latvia.

Jika gagal menurunkan berat badan September ini, Syakilla perlu akur dengan apa jua keputusan MSN.

"Jurulatih berbeza memiliki cara yang berbeza, saya telah lama berlatih bersama (Andris) Vasiljevs manakala saya hanya baru sahaja berlatih bersama jurulatih skuad kebangsaan,  Ali Reza Souleymani, dalam beberapa minggu sahaja," kata Syakilla.

Sementara itu, bekas pengendali negara, Vasiljevs, yang sudah berada di Kuala Lumpur sejak minggu lalu, masih berharap dapat membawa Syakilla ke Latvia.

Dia mendakwa sudah mendapatkan persetujuan Jawatankuasa Olimpik Latvia untuk menyenaraikan pemenang pingat emas Sukan Asia 2014 itu dalam program khas negara terbabit.

"Jalan terbaik dalam situasi ini memerlukan masa untuk memastikan Syakilla kembali berlatih di Latvia. Kami masih lagi berusaha dan bakal meneruskan perancangan yang telah ditetapkan di sini terlebih dahulu dan Syakilla memberikan respons yang positif dan kami akan melihat perkembangannya," kata Vasiljevs.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen